Kenduri Wazir

1 02 2010

Oleh Zaid Akhtar

(Dewan Sastera Disember 2009)

PUJIAN demi pujian tiba-tiba mengapung ke langit.

“Inilah rekod baru negara!”

“Inilah langkahan saujana!”

“Belum ada yang sepantas dia. Baru setahun jagung dalam siasah sudah bergelar menteri.”

“Dia memang terlebih layak. Pemimpin sepertinya cuma satu dalam sejuta.”

“Dia tokoh prihatin dan penyayang. Alangkah beruntungnya rakyat punyai pemimpin sepertinya. Tentu tiada lagi rakyat terbiar kelaparan dan menderita.”

“Dia tokoh bersih suci. Rasuah pasti diperangi. Tiada rakyat tertindas lagi.”

“Dia tokoh ilmuwan. Budaya ilmu jadi keutamaan. Institusi pendidikan akan tumbuh bagai cendawan.”

“Dia tokoh ulama. Islam pasti akan lebih gemilang. Masjid-masjid tentu akan lebih makmur. Ibarat baldatun toyyibatun wa rabbun ghafuur.”

Segala-galanya kini berkisar seputar Wazir. Sejak diumumkan oleh Wazir Perdana sebulan lalu, kampung kami tidak sudah-sudah membicarakan tentang Wazir, atau kami kadang-kadang memanggilnya Ustaz Wazir yang kini benar-benar bergelar wazir.

Lama dahulu kami mengenali Wazir. Tampang tenang dan mesranya sewaktu mula-mula dia sebatang kara terhantar mengajar di sekolah kampung kami, tidak banyak berubah berbanding tampangnya yang sering muncul di kaca televisyen kini. Susuk sederhana tegapnya sewaktu beriadah bersama belia kampung kami, tidak banyak berbeza berbanding susuknya yang sering terpapar di dada akhbar hampir setiap hari. Begitu juga khutbah dan pidatonya yang masih lantang, memikat, dan berperisa seperti dahulu.

“Saya anak desa kemacar. Biasa bermandi keringat, bermain selut di sawah. Kampung halaman saya adalah bendang. Kampung ini ibarat kampung saya. Pakcik dan makcik juga seperti saudara-mara saya.”

Begitu pertama kali Wazir memperkenalkan dirinya kepada kami di masjid. Cukup mesra taarufnya. Malah kami terasa dia bagaikan salah seorang anak kampung kami yang baru pulang mengaji di tempat yang jauh.

“Saya mengaji tak tinggi mana. Pernah bersekolah atap, menginap di pondok. Cuma mungkin agak bernasib baik, ada pihak yang sudi membiaya saya hingga ke Timur Tengah.”

Sifat tawaduknya membuatkan kami selesa.

“Keluarga saya orang susah. Mungkin lebih sesak daripada pakcik dan makcik di sini. Tapi, insya-Allah, di sebalik kepayahan itu akan ada kesenangan.”

Tentu sahaja dia tidak sukar menyesuaikan dirinya di kampung kami. Tanpa memerlukan masa yang lama, Wazir kami rasakan bagai sebahagian daripada kami sendiri. Seisi kampung bagai jatuh hati padanya. Tok Ketua mengumpamakannya harta karun berharga yang tiba-tiba ditemui. Tok Imam pula mengibaratkannya wali yang diutuskan Allah untuk menyinari kampung kami dengan karamahnya.

“Apa kata jika kita undang Wazir datang ke kampung kita?”

Cadangan Tok Ketua itu mengejutkan kami semua yang asyik terhimbau kenangan-kenangan indah sewaktu bersama-sama Wazir dulu. Rasa bangga bagaikan tidak henti-henti mengalir dalam diri kami. Melonjak-lonjak sesekali.

“Kita adakan kenduri kesyukuran sempena kejayaan Wazir,” sambungnya lagi.

“Ya, kejayaan Wazir adalah kejayaan kampung kita juga.”

“Kita mesti buat kenduri besar-besaran.”

“Kita tumbangkan kerbau dua tiga ekor.”

“Bolehlah kita hidangkan beras baharu dari sawah kita.”

“Jangan lupa masak sup ekor kegemaran Wazir.”

“Tapi, mahukah Wazir bertandang ke kampung kita?”

Pertanyaan itu membuatkan kami melongo seketika.

“Kedatangan saya ke kampung ini adalah kerana Allah. Dia yang telah mentakdirkan saya akan terhantar ke sini demi mendidik anak-anak tuan-tuan, berjemaah di masjid dengan tuan-tuan, tinggal bersama-sama tuan-tuan.”

Kampung kami memang agak terpencil jauh di pedalaman. Namun kemudahan semuanya cukup dibekalkan kerajaan. Kehidupan penduduk rata-ratanya bergantung kepada hasil padi dan kebun. Ramai juga anak kampung kami yang telah keluar dan berjaya memegang jawatan penting di kota, bagaimanapun belum ada yang bergelar ustaz yang berjiwa murabbiy sepertinya. Pastinya kemunculan Wazir kami anggap sebagai rahmat. Laksana kejora gugur ke riba.

“Syukur, orang yang kami nanti sekian lama barangkali sudah tiba. Ustazlah orang yang akan menyatupadukan hati-hati penduduk kampung ini.”

Demikian ujaran Tok Ketua dalam satu kenduri aqiqah di masjid kira-kira dua minggu setelah Wazir menetap di kampung kami. Wazir hanya tersenyum madu. Kami saling berpandangan sesama sendiri sebelum mengangguk setuju.

Kata-kata Tok Ketua itu ada asasnya. Sepanjang setengah purnama Wazir bersama-sama kami hampir tiada penduduk kampung yang tidak mengenalinya. Begitu cepat dia bertaaruf dan memesrai kami. Tambahan pula dialah satu-satunya guru agama yang mengajar anak-anak kami di sekolah; satu-satunya ustaz yang menyebarkan ilmunya kepada kami di masjid. Malah kami semua sangat menyenangi dan mulai menyayanginya.

“Inilah agaknya takbir mimpi saya dulu. Ustazlah orangnya yang muncul dalam mimpi, yang akan mencorakkan tarbiah kampung ini.” Begitu pula luahan Tok Imam seusai solat Jumaat yang khutbahnya disampaikan oleh Wazir sendiri buat kali pertama.

Sudah ramai guru yang datang bertugas di kampung kami, namun belum ada yang berperwatakan hebat seperti Wazir. Sudah ramai ustaz yang datang ke kampung kami, namun belum ada yang dakwahnya terasa menusuk di jiwa kami. Wibawanya sebagai seorang pendidik yang muaddib, seorang ustaz yang mursyid, malah seorang pemimpin yang mujaddid jelas terserlah.

“Wazir pasti akan datang. Bukankah kampung ini kampungnya juga?” Tok Ketua meyakinkan kami.

“Ya, masakan dia sudah lupakan kita semua.”

“Mustahil dia boleh lupa. Setiap hari kita berjemaah dan mendengar kuliahnya.”

“Jadi, kita nak adakan kenduri itu di mana?”

“Balai raya kita kecil sangat. Masjid kita pula tua dan buruk.”

“Kita tetap adakan di masjid,” Tok Imam bersuara tegas. “Wazir pernah berkata, masjid adalah rumah pertamanya.”

“Terlanjur begitu, kita boleh minta sumbangan Wazir untuk ubah suai masjid.”

“Ya! Tentu dia akan sokong dan luluskan jika kita mohon pembinaan masjid baharu.”

Kami bagaikan serentak mengangguk dengan cadangan bernas itu.

“Perkara pertama yang Rasulullah lakukan sewaktu berhijrah ke Madinah adalah mendirikan masjid,” tegas Wazir dalam satu kuliah subuhnya.

Justeru masjid menjadi keutamaan dalam tarbiah Wazir, apatah lagi setelah dia kami lantik menjadi penasihat rumah Allah itu. Masjid usang kampung kami yang suram dan lengang diisinya dengan program-program yang mampu menarik jemaah. Tanpa kami jangka, warga emas yang selalunya ralit bersembang di warung dan galak bermain dam dan terup hingga ke malam perlahan-lahan mulai beralih ke masjid.

“Apa rahsianya, ustaz?”

Wazir terkerisin mendengar pertanyaan yang berisi kekaguman kami.

“Saya ke warung kopi berborak dengan mereka hampir setiap hari.”

Pelik bin ajaib! Apalah agaknya “ayat penarik” yang dihembus oleh ustaz muda ini hingga kaki karaoke pun malu alah dengannya dan tertarik ke masjid?

Mulanya hanya golongan tua yang perlahan-lahan mengakrabi masjid, namun lama kelamaan para belia kampung kami pula turut cenderung mengimarahkannya. Program-program masjid seperti halaqah, kuliah, tahlil, kenduri mahupun ziarah mulai mendapat sambutan.

Biarlah masjidnya nampak buruk, asalkan fungsinya hidup. Kalimat bernilai Wazir itu kami genggam sungguh-sungguh.

“Apa petuanya, ustaz?”

Wazir seperti lazimnya tersenyum meladeni ketakjuban kami.

“Saya juga ke padang bermain bola dan sepak takraw dengan mereka hampir setiap petang.”

Segalanya tentang Wazir membeliakkan mata kami. Begitu hebat. Tidak hanya sanggup turun ke warung kopi, padang bola, sawah bendang, kedai runcit; malah Wazir turut ke jalan raya bertemu mat-mat rempit. Dan kejayaannya juga bukan sekadar berjaya mendorong kami ke masjid, bahkan memupuk perpaduan dalam kalangan kami. Barangkali tidak cukup sehari suntuk jika mahu diperincikan karismanya dan auranya yang berupaya memukau sanubari kami.

“Bila kita akan adakan kenduri itu?”

“Lagi cepat lagi baik. Pasti ramai yang tidak sabar mahu berjumpa dengannya.”

“Seeloknya sebulan daripada sekarang. Majlis kenduri itu besar. Kita perlu membuat persiapan.”

“Kita sambut ketibaannya secara gilang-gemilang. Pasukan kompang, seni silat, pulut kuning, beras kunyit, bunga manggar mesti disiapkan.”

“Budak-budak muda tentu mahu membuat perarakan motosikal bagi mengiringinya.”

“Ya, Wazir itu idola mereka. Mat rempit pun tabik dengannya.”

“Lebih klasik jika kita guna tandu dan arak Wazir keliling kampung.”

“Undangan juga mesti dibuat lebih awal. Jadual Wazir pasti selalu padat, maklum sahaja menteri.”

“Kita lantik wakil untuk pergi mengundangnya.”

“Esok, aku dan Imam akan ke kota bertemu dengannya untuk menyampaikan undangan kita,” tegas Tok Ketua. “Biar dia sendiri yang tetapkan tarikhnya ke sini.”

“Apa kata jika kita hadiahkan Wazir beras baharu kita? Tentu dia suka. Lagipun dia telah banyak berjasa dan berkorban untuk kita selama ini.”

Semua yang hadir akur. Kasih sayang dan kerinduan terhadap Wazir tidak pernah merosot. Baktinya kepada kampung ini amat besar. Meskipun Wazir bukanlah anak jati kampung kami, tetapi kami tetap akan menobatkannya sebagai pejuang kami yang sebenar. Dialah simbol perjuangan kami. Tanpa hububan semangatnya, kami mungkin tidak mengenali erti perjuangan dan pengorbanan. Lebuh raya yang terbentang merentasi kampung kami itu saksinya.

“Kita tidak menolak pembangunan, tetapi biarlah setara dengan pengorbanan. Tuan-tuan adalah tuan tanah ini. Sawah adalah periuk nasi tuan-tuan. Berfikirlah jauh ke hadapan sebelum menurunkan tanda tangan.”

Kebanyakan kami yang sudah silau mata dengan tawaran longgokan wang termanggu seketika.

“Kami telah dijanjikan wang pampasan.”

“Benar. Tapi kalian berhak menuntut harga pampasan yang wajar.”

“Harga pampasannya sudah mengikut nilai semasa. Lumayan pula tu.”

“Ya, memang tawaran itu mengikut nilai semasa dan agak lumayan buat masa ini. Tapi, fikir-fikirkanlah, tuan-tuan akan kehilangan tanah selepas ini.”

Masing-masing terlongo. Kesedaran meresap masuk.

“Habis, apa yang harus kami tuntut lagi?”

“Tanah juga mesti diganti dengan tanah!”

Lalu kami menuntut tanah lain sebagai ganti kepada tanah sawah yang kami korbankan untuk pembinaan lebuh raya. Kami berjaya beroleh kedua-duanya, namun Wazir juga turut terkorban. Dia dipindahkan serta-merta ke daerah lain di hujung negeri kerana didakwa menjadi penghasut bermotif politik agar kami menuntut pampasan berlebihan.

Biarpun terpisah jauh, kami masih lagi saling berhubung dan bertanya khabar. Hubungan ukhuwah itu kekal beberapa lama. Namun dua minggu sebelum pemilihan umum rakyat yang lalu, Wazir tiba-tiba disunting untuk bertanding merebut kawasan parlimen tempat kelahirannya. Khabarnya dia menolak pada awalnya, bagaimanapun akhirnya akur dengan pujukan yang berpanjikan perubahan. Dia menang besar  di luar jangkaan dan kemudian mencipta kejutan apabila dilantik sebagai menteri termuda dalam kabinet baharu Wazir Perdana.

Sejak asar kami menanti kepulangan Tok Ketua dan Tok Imam di masjid. Segala mesyuarat jawatankuasa sambutan sudah usai. Hanya menunggu kepastian daripada kedua-duanya sahaja yang ke kota sejak pagi untuk bertemu Wazir. Kami mahu mendengar sendiri daripada mulut mereka berdua, bilakah Wazir akan datang ke mari.

Serentak dengan laungan azan maghrib bersipongang, motokar Tok Ketua tiba di perkarangan masjid. Kami segera berkerumun dan bagaikan tidak sabar menanti kedua-duanya keluar dari kenderaan.

“Apa khabar Wazir?”

Tok Ketua dan Tok Imam saling berpandangan. Kemudian saling menggeleng. Tiada ceria pada wajah mereka. Masam dan kelat.

“Bila Wazir nak datang ke sini?”

Tok Imam menghempas pintu motokar agak kuat. Tok Ketua pula begitu lambat pergerakannya untuk keluar dari tempat pemandu.

“Bagaimana Wazir, Tok Imam?”

“Wazir dah sebulan meninggal.”

Kami terpinga-pinga mendengar jawapan Tok Imam. Sudah sebulan meninggal dunia?

Mustahil! Baru semalam kami melihatnya sedang merasmikan sebuah ekspo di kaca televisyen. Malah akhbar hari ini juga ada menyiarkan beritanya berkempen memerangi korupsi.

“Mengarut!

“Janganlah main-main, Tok!”

“Baru petang tadi keluar berita Wazir akan bercuti ke luar negara selama seminggu mulai esok.”

“Betul. Dia memang dah meninggal,” tegas Tok Imam.

“Habis yang keluar di TV tu siapa?”

“Hantu,” balasnya seraya melangkah ke tempat wuduk.

Kami berasa mahu menerkam Tok Imam yang berjenaka tidak mengira tempat dan ketika.

“Mari tolong aku keluarkan beras-beras tu.” Tok Ketua pula bersuara agak tidak bermaya. “Biarlah Wazir tak ada sekali pun, esok kita tetap adakan kenduri.”

Kami semakin terkesima. Jembalang mana yang merasuk dua orang tua kami ini?

But kereta dibuka. Tiga guni beras-baharu yang dibawa Tok Ketua sebagai buah tangan pagi tadi masih tidak terusik.

“Kita adakan kenduri arwah untuknya. Dan doa selamat untuk kampung kita.”





Identiti

11 08 2009
Muqaddimah
MULANYA memang bukan niat saya menceritakannya kepada sesiapa. Namun tugas saya hanya bercerita. Tegasnya, kisah ini benar. Kalaupun ia tidak menjentik sensitiviti anda.

(1)

Ris tidak tahu saya mengintai tiap gerak-gerinya sejak zaman persekolahan kami. Dia (perlukah saya perincikan?) baik. Cantik. Manis. Lembut. Menawan. Segalanya! Sejak kali pertama saya melihatnya di tingkatan dua, memang hati sudah terpikat. Sukar untuk saya melupakan mata jelinya yang tertutup cantik apabila tertawa itu.

Dan sudah pasti yang terlalu menarik perhatian saya adalah kesolehahannya. Kena pada ciri-ciri idaman hati ini. Kelembutannya bila bertutur; merendahkan pandangan pada tempat yang sepatutnya; begitu menghormati @ menghargai guru dan puluhan kriteria lagi. Paling mustahak, Ris (sebagai pelajar SMKA) begitu ayu pada kaca mata saya dengan tudung labuh yang menjadi identiti dan penjagaan aurat yang total.

Adapun saya, (mungkin perlu saya nyatakan) bukan pula pelajar terbaik. Namun kadang-kadang agak nakal juga. Tidaklah terlalu segak dan kacak orangnya. Bak kata orang: Hidung taklah terlalu mancung, dan pipi pastinya tidak tersorong-sorong. Saya lelaki seadanya.

Hari demi hari. Bulan berpindah tahun. Demikian masa pantas berlari dan kami membesar dan memutik remaja di sekolah ini.

Mungkin anda tidak percaya, saya terlalu pemalu orangnya. Lantas bagaimana sewaktu di tingkatan lima ini, harus saya zahirkan isi hati ini? Mahu berterus terang dengan Ris, terasa tidak layak. Siapalah saya di matanya? Mahu memendam rasa, SPM pula kian hampir menjengah; sedang saya makin tidak betah menahan gelora hati yang belum kenal erti cinta ini.

Kepada Ziq saya luahkan isi hati saya yang bergelodak benar. Ziq mendengar teliti, barangkali terdetik simpati. Namun malang sungguh, Ziq yang diharap menjadi tempat ‘meluah rasa’ sanggup membocorkan rahsia. Rahsia yang terlalu rahsia bagi saya itu pecah geger. Kawan-kawan tertawa, mengusik, mengutuk dan sebagainya. Lebih teruk, membandingkan kami seperti langit dengan bumi. Saya malu metah. Mana saya mahu letak muka ini?

Dan Ris yang turut mengetahui, tersenyum sinis (saya tidak lagi menganggapnya manis) tatkala kami berpapasan sesekali. Saya fikir, pasti dia memandang jijik diri ini. Saya mulai sedar siapa saya. Saya harus mengkoreksi diri. Saya mesti cemerlang. Saya mesti baiki sahsiah diri. Saya mesti miliki gadis yang lebih hebat, lebih baik dan lebih manis daripada Ris suatu hari nanti. Saya mesti membencinya mulai hari ini!

(2)

2002. Saya kini pelajar perubatan di UM. Entah bagaimana September itu saya tercampak ke tapak konvo sebuah IPTA terkemuka. Pesta konvokesyen sedang berlangsung meriah. Jai, sahabat baik masa di SMKAS dulu menghantar SMS, minta saya hadir. Katanya, ada perjumpaan alumni.

Rindu mengenangkan kawan-kawan lama saya bergegas ke sana. Kawan-kawan masih belum ramai yang datang. Saya leka berbual-bual dengan Jai, Qil dan Mud. Sesekali tawa terburai mengingat kisah silam. Namun tawa saya lekas mati tatkala seorang gadis berjeans (agak ketat), berkemeja T hitam paras siku, dan bertudung skarf menutup rambut tetapi menampakkan batang leher tampil mendekati kami. Ramah menyapa Jai, Qil dan Mud.

Ris? Itu yang pertama keluar di bibir saya melihatkan gadis itu tertawa sambil mata jelinya tertutup cantik. Rasanya tidak salah Memang dia. Dan memang itulah dia, dapat saya pastikan benar-benar apabila dia menghulurkan tangan mahu menjabat saya.

Saya menggeleng. Terpempan. “Zen tak kenal Ris?”
Suara saya seperti dahulu. Tidak mampu keluar.

Khatimah
Syyyy…!Tolong! Jangan sampaikan kepada Ris cerita ini. Mampus saya diseranahnya! Ini rahsia kita. Jangan jadi seperti Ziq yang tidak tahu menjaga rahsia. Juga kepada mereka yang bukan warga sekolah ini, usah sesekali dikhabarkan. Ini soal maruah. Soal identiti . Soal diniy. Justeru, saya ikhlas membisikkan sahaja kisah ini ke telinga, mudah-mudahan kita beroleh iktibar. Dan rasanya pilihan saya untuk membenci Ris dulu adalah tepat.

Ini tazkirah. Anda mungkin macam Ris pada hari ini, di sekolah ini. Tapi pada masa hadapan, mampukah anda berjanji?

(Al-Hidayah, SMKAS, 2002)




Nil Masih Mengalir

8 08 2009

(Dewan Sastera November 2000)

SEGALANYA masih segar. Masih teringat-ingat dan terdengar-dengar. Malah sudah beberapa kali saya ceritakan kepada kawan-kawan karib yang saya temui, baik di Jordan mahupun Mesir, tentang cerita ini. Mereka seperti saya juga – akan menggeleng-geleng kepala – sukar untuk percaya. Namun, saya yakini, yang saya tidak bermimpi.

Ini cerita perjuangan. Cerita pertentangan yang belum berkesudahan – bahkan sudah mencecah beberapa dekad. Lantaran itu, saya suka sekali menitipkannya kepada sesiapa sebagai suatu tazkirah. Ia terjadi hampir dua bulan lalu, apabila kami melawat Mesir, menziarahi teman-teman di al-Azhar. Saya yang mabuk laut terpaksa memilih jalan udara dari Amman terus ke Kaherah. Sementara dua lagi rakan saya, Zakuan dan Nushi, yang kekurangan ongkos, menaiki bot laju dari Teluk Aqabah ke Nuwaiba’, sebelum merentasi Semenanjung Sinai dan Terusan Suez. Ketika airbus Royal Jordanian mula menderu meninggalkan LTA Alia, pagi baru mendaki waktu duha. Di sebelah saya, seorang lelaki arab, sedang ralit dengan sebuah kitab di tangan. Langsung tidak terganggu dengan dengung enjin.

Pesawat naik perlahan. Apabila isyarat larangan merokok dan tali pinggang bercantum terpadam, saya mula menyelak kitab Sayyid Qutb: Qabla wa Ba’da Istisyhadihi (Sayyid Qutb: Sebelum dan Selepas Kematiannya) tulisan Dr. Ukasyah Damanhurie yang saya temui di Maktabah ar-Risalah minggu lepas. Hampir seminggu saya merayau di serata Amman mencari buku ini. Penulisnya – seorang tokoh ulama – amat saya gemari.

Dr. Ukasyah menyebut: Beliau Sayyid Qutb Ibrahim Hussein Syazili, lahir pada 9 Oktober 1906, di Mosyah, dalam wilayah Asyut. Merupakan pemikir, pujangga, penulis, sasterawan, juga ulama ulung di Mesir pada kurun ke-20. Antara pendokong utama Ikhwanul Muslimin selepas kematian Imam Hasan al-Banna. Sudah terdidik dalam keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Khatam menghafaz al-Quran sejak berumur 10 tahun. Sebagai penulis, Sayyid dikatakan paling banyak dicetak bukunya. Karyanya masih terus diterbitkan hingga kini malah diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Terutama tafsirnya “Fi Zilalil Quran” (Di Bawah Lindungan al-Quran) yang dianggap ‘karya agung’ oleh kebanyakan ulama. Sebagaimana petikan mukadimah tafsir itu yang berbunyi: Kehidupan di bawah lindungan al-Quran itu nikmat. Nikmat yang tidak akan dinikmati melainkan orang yang merasainya.

“Kamu pelajar Malaysia?” tanya lelaki di sebelah saya sejurus memberi salam.

Saya menggangguk. Menjawab salam perlahan. Memandang tampang bersih putih di sisi. Dalam lingkungan 60-an, memakai jubah putih, berserban dan igal yang melilit kepala. Saya yakin aroma harum yang diendus sejak tadi berasal dari syeikh berjambang putih-nipis ini. Dia tersenyum lebar, memuji-muji dan mendoakan saya – sebagaimana kelaziman orang arab, sebelum pandangannya berpindah ke kitab di tangan saya. Dan senyumnya tambah mesra.

“Aku kenal penulis buku ini, malahan As-Syahid Sayyid Qutb sendiri.”

Saya ternganga. Terkebil-kebil. Semacam kurang percaya. Punggung saya sedikit mengisar.

“Panggil saja Abu Yazid. Aku asal Damanhur, Mesir. Menetap di Sweileh, Amman. Hajatnya mahu pulang ke tanah air.”

“Saya dari Irbid, tapi bermalam di Sweileh malam tadi. Tuan hadir dalam kuliah selepas isyak oleh Dr. Solah al-Khalidi di Masjid Abdurrahman Auf?”

Dia mengangguk dan senyum lagi. Saya teringat kehadiran malam tadi yang tidak sampai 30 orang. Bagaimana aku boleh tidak perasan lelaki ini hadir?

“Oh, sahabatku itu. Dia … err, Dr. Solah ulama tawaduk. Tapi ilmunya, masya-Allah. Hampir segala-galanya dia tahu tentang Sayyid Qutb. Tesis Sarjana dan Doktor Falsafah’nya berupa kajian khusus tentang Sayyid Qutb dan tulisan-tulisannya.” Dia membetulkan kain serban merah-putih di bahunya, seterusnya menambah, “Memang kalian pelajar Malaysia bagus-bagus belaka. Cintakan ilmu dan suka mendekati ulama.”

Dia mulai ramah, menanggalkan kaca mata, sebelum menutup kitab di tangan. Saya sempat mengelih judulnya: Nahwu As-Sohwah Al-Islamiyyah (Era Kebangkitan Islam) karya Fathi Yakan. Ternyata dia juga penggemar tulisan pemikir Lubnan itu seperti saya. Seterusnya, kami mula berbual pelbagai perkara. Dari tutur bicaranya yang fasih tersusun, saya dapat mengesan, dia seorang berilmu. Jarang orang arab mahu menggunakan bahasa arab secara baku. Dari thaqafahnya yang tampak luas, mampu bercakap soal agama-politik-sosial-sastera, saya merasakan dia bukan sembarangan orang!

Dan yang agak menarik darihal lelaki ini adalah maklumatnya yang mantap tentang Sayyid Qutb, keluarganya, perjuangannya, hatta karya-karyanya!

“Aku sukakan syiir-syiir Sayyid. Kamu pelajar Kuliah Sastera tentu tidak sukar memahaminya.”

Tanpa diminta, dia mula mengalunkan beberapa bait:

“Ke sebuah pantai yang tidak diketahui

ke suatu alam yang kurindukan pemandangannya

ke suatu pinggir yang lain.

Ke suatu yang tidak engkau ketahui

ke suatu yang tidak akan engkau lihat

petunjuk

untuk zaman-zaman dan alam maya

yang diamati.

Ke suatu yang tidak dapat kaubezakan sempadannya

ke suatu yang dilupakan oleh manusia, alam maya, dan masa.”

Saya menikmati suara parau orang tua itu walaupun berasa kurang selesa, hinggalah seorang pramugari datang menghulur sarapan berupa kahwa dan teh, sedikit roti, mentega dan jem Belanda. Dia berhenti bersyiir, lalu mengacau gula di dalam kahwa yang masih berasap.

“Saya belum pernah mendengar syiir itu sebelum ini.”

“Itu syiir “As-Syathi’ Al-Majhul” (Pantai yang Tidak Diketahui) yang dikarangnya pada 1923. Pantai atau laut yang dimaksudkan adalah kehidupan kita. Yang tidak dapat kita ketahui kesudahannya,” Abu Yazid menjelaskan.

“Syeikh begitu mengaguminya. Tentu banyak pengalaman tuan bersamanya.”

Abu Yazid mengangguk-angguk sebelum menggeleng-geleng. Ternyata dia senang dengan kata-kata saya. Tetapi senyum tawar di bibirnya menghentikan niat saya untuk bertanya lebih lanjut. Dia kelihatan seperti tersentuh dan barangkali sedang memikirkan sesuatu – seraya menurunkan kerusinya. Bersandar dan memejam. Kitabnya diletakkan di atas dada.

Lantas saya meneruskan pembacaan yang terbantut.

Sayyid bukan sahaja menulis dalam bidang keagamaan, tetapi dianggap pengarang yang mempunyai kemahiran berbahasa, bergaya, dan sukar ditangkis hujahnya. Menulis dalam pelbagai genre. Malah pernah mengkritik gurunya sendiri –Abbas Mahmud Aqqad – dalam polemik yang dianggap penting dalam perkembangan sastera Islam. Dipenjara tetapi kekal prolifik menulis, sehinggalah bukunya yang terakhir, Ma’alim fi At-Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan) akhirnya membawa beliau ke tali gantung!

Lantaran kebijaksanaannya yang luar biasa, dan kecenderungannya kepada al-Quran dan idea-idea Islam yang agak membimbangkan kerajaan, beliau dihantar belajar ke Amerika Syarikat selama dua tahun. Bagaimanapun ketika di sana, beliau berasa hairan setelah melihat orang-orang Barat begitu gembira dengan pembunuhan Al-Banna pada 1949. Takjub dengan kejadian itu, beliau kembali ke Mesir, memimpin Revolusi Julai 1952, sebelum menyertai Ikhwan.

Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya menyebut : Sayyid Qutb syahid yang hidup. Biarpun jasadnya mati, tetapi wawasan pemikiran Islaminya terus kekal. Dan sememangnya orang yang syahid itu tidak mati.

“Janganlah kau menganggap bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati. Bahkan mereka itu hidup di sisi Allah dengan mendapat rezeki.” – (Ali Imran : 169)

“Aku pernah menemuinya. Iya, pernah mendapat tarbiah daripadanya, pernah bekerja bersama-sama dalam gerakan Islam.” Rupa-rupanya syeikh itu belum tidur lagi –mengejutkan saya yang asyik. Dia menghirup kahwa, mengejipkan matanya, dan menunduk. “Malah pernah sama-sama dipenjarakan.”

Ayat sambungannya itu membeliakkan mata saya beberapa detik. Buku terus saya katup.

“Beribu orang ditangkap pada Oktober 1954. Presiden Gamal Abdul Nasser membabitkan Ikhwan dalam perancangan membunuhnya.”

“Syeikh anggota Ikhwan?”

“Aku waktu itu baru berusia 20 tahun. Mengaji di Darul Ulum. Tertarik dengan sahsiah Sayyid lalu menuruti jejaknya menyertai Ikhwan pada awal 1953. Pengaruh kami makin kuat waktu itu, tapi benarlah, Yahudi ada di mana-mana.”

“Yahudi?”

“Ya. Ada kajian yang mendakwa Gamal Abdul Nasser berdarah Yahudi. Wallahu-A’lam. Kalau tidak pun, memang pengaruh Yahudi di ‘balik tabir’ menguasai kerajaan waktu itu. Macam kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah juga, semua kerja Yahudi.”

Saya menelan liur. Buku “Al-Yahudiyah” oleh Dr. Ahmad Syalaby dan beberapa lagi buku berkaitan Zionis telah saya khatam. Tetapi maklumat orang tua ini membuat saya terasa pembacaan saya selama ini masih tidak seluas mana. Teringat pendedahan sebuah media Britain baru-baru ini. Sepuluh orang pemimpin arab semasa bersusur-galur Yahudi. Sekadar provokasi? Entah.

“Sayyid dihukum penjara selama 15 tahun, sedang kami yang masih muda dan belum berpengalaman dilepaskan selepas berbelas bulan. As-Syahid diazab paling teruk di kalangan kami. Oh, Sijin Harbie, penjara yang takkan kulupa seumur hidup.”

Dia menarik lengan jubahnya. Dua bilur panjang keperangan jelas kelihatan.

“Ini terlalu sedikit jika dibandingkan rakan-rakan lain. Tapi aku … aku tidak tahan menanggung.” Suaranya tiba-tiba melirih. Abu Yazid terbatuk beberapa kali. “Ditambah desakan keluarga yang kuat, aku dihantar ke Damsyik untuk menyambung belajar.”

Tangisan seorang bayi pecah tiba-tiba. Bau asap rokok menyucuk hidung. Seorang lelaki arab-Mesir kira-kira satu setengah meter di sebelah kiri Abu Yazid masih berselamba sekalipun dimarahi ibu bayi yang menangis. Tidak tahu langsung menghormati ketenteraman awam!

“Aku beroleh Sarjana, bernikah dengan wanita Syria dan kami dikurniai tiga cahaya mata, sebelum pulang ke Kaherah pada penghujung 1964. Waktu itu, Sayyid baru keluar penjara atas permintaan Presiden Iraq Abdul Salam Arif, tapi ditangkap semula pada Ogos 1965.”

Sudah jelas sekarang, orang tua ini bukan calang-calang orang!

“Jadi, tuan berada di Kaherah semasa hukuman mati dijatuhkan?”

“Hari itu, 29 Ogos 1966, aku tidak mampu mengajar di kolej seperti biasa. Pelajar kusuruh pulang. Kami terlalu hiba dengan kematiannya. Dia digantung bersama dua sahabatnya Muhammad Yusof Hawasy dan Abdul Fattah Ismail. Gamal Abdul Naser terlalu kejam menuduh Sayyid cuba mencetuskan huru-hara. ”

Abu Yazid terdiam. Barangkali segala peristiwa masih terbayang jelas. Lantas pandangan saya buang ke luar. Awan terlalu nipis membolehkan penglihatan tembus ke bawah. Tiada kehidupan selain lautan yang terbentang luas. Laut Merah kelihatan bersisik ditikam seminau matahari. Di sinikah Allah mengajar Firaun yang taghut itu?

“Awal 70-an, ramai anggota Ikhwan yang musafir ke luar negara kerana tidak tahan dengan tekanan kuku besi pemerintah. Antaranya adik Sayyid, Muhammad Qutb yang menjadi profesor di Universiti Ummul Qura. Alhamdulillah, aku juga ditawarkan sebagai pensyarah di Universiti Jordan hingga sekarang. Jordan lebih terbuka, terutama pada zaman Raja Hussein. Agak selesa untuk aku terus berdakwah dan menulis.”

Dia juga seorang penulis?

“Tapi itu dulu, sejak kemangkatan Almarhum, banyak yang kurang menyenangkan,” luahnya kesal.

Saya mengangguk tanda setuju. Memang banyak perubahan politik di Jordan akhir-akhir ini. Pejuang-pejuang Palestin yang tumpang berlindung tidak lagi mendapat keistimewaan seperti dulu. Ada pula ura-ura pejabat-pejabat cawangan HAMAS mahu ditutup seluruhnya.

“Jadi, tuan juga menulis? Rasanya saya belum pernah membaca hasil tulisan tuan.”

Dia mengulum senyum, semacam geli hati.

“Kamu sedang membacanya.”

Tubuh sedikit tersentak. Kali ini saya memandang wajahnya sungguh-sungguh. Dia inikah Dr. Ukasyah? Subhan-Allah, dia ulama-penulis yang saya kagumi itu sebenarnya! Patutlah saya begitu tertarik dengan sahsiah lelaki ini sejak tadi.

Lantas perbualan tentu sahaja semakin rancak sedang masa begitu gesit.

“Saya mendapat tahu kitab-kitab tuan diharamkan di Mesir?”

“Aiwah, sebenarnya, aku sendiri sejak Perang Teluk tidak ‘boleh’ kembali ke sana. Aku beroleh suaka politik di Jordan. Entah bagaimana kerajaan Mesir boleh menarikbalik pengharaman ke atasku mulai tahun ini,” luahnya dengan wajah berseri.

Saya diterpa rasa gharib. Bagaimana kerajaan Mesir boleh selembut itu sedang ramai lagi tokoh ulama Mesir yang tidak berani pulang? Kembali bermakna menghantar diri ke bilik berjeriji besi.

“Lalu tuan syeikh pulang ini untuk menziarahi kaum kerabat yang lama ditinggalkan?”

“Bukan itu saja. Kebetulan minggu depan, 29 Ogos, ada majlis memperingati syahidnya Sayyid yang ke-33. Ada jemputan, dan aku diminta berucap di majlis itu. Isteri dan anak-anakku melarang juga.” Dia bagai tahu apa yang bermain di kepala saya. “Dan kadang-kadang payah untuk percaya juga. Tapi, inilah kesempatan terbaik untuk bertemu rakan-rakan lama.”

Saya ingin bersuara, tetapi suara kapten lebih dahulu bergema menerusi P.A. System, dan isyarat larangan merokok dan tali pingang bercantum menyala semula. Pesawat mula merendah. Suara penumpang lain mula beraduk dengan pengumuman pendaratan.

Kurang lebih setengah jam kemudian, ketika menanti Irfan yang datang menjemput di lobi terminal, Abu Yazid gagal saya kesan. Dia hilang sewaktu kaunter imegresen faudho dikerumuni penumpang yang sukar diajar supaya berbaris di belakang garisan kuning.

Seminggu pertama di Mesir saya habiskan dengan menziarahi kenalan dan menjejaki kesan-kesan sejarah. Merangkak untuk masuk ke Piramid di Giza, merayau dalam bazar-bazar di Al-Hussein, menjenguk jasad Ramses II (Firaun yang mati lemas) dalam kuboid kaca di Muzium Mesir, hinggalah ke tugu peringatan tempat Anwar Sadat ditembak.

Dan petang awal September itu, saya, Zakuan, Nushi, dengan ditemani Irfan baru selesai memudiki Sungai Nil dengan bot kecil yang disewa, lalu kami singgah minum di gerai tebu berhampiran tebing. Suara pengunjung lain di tebing sungai itu berkacuh dengan bunyi kenderaan di jalanan. Ibu negara yang menampung lebih sepuluh juta penduduk ini tidak pernah sunyi. Senantiasa bingar. Angin sore pinggir Kaherah yang berpuput lembut memukul-mukul pipi. Sesekali kami terpaksa mengejip-ngejipkan mata – mengelak debu yang berterbangan.

Irfan yang ditugaskan mencari ‘alas perut’ muncul dengan sebungkus syawarma dan senaskhah akhbar harian di tangan, sedikit termengah-mengah dan riaknya nampak cemas. Dia menepuk bahu saya dan menunjukkan berita muka depan.

“Tengok ni. Diakah syeikh yang kauceritakan dulu?”

Saya membaca selaju mungkin. Dada berdebar-debar seterusnya kepala saya geleng. Menghela nafas sebelum melepaskannya panjang. Terimbau wajah damai lelaki tua itu juga pertemuan kami yang singkat tetapi bermakna itu.

“Kenapa?” tanya Nushi ingin tahu.

“Hosni Mubarak cedera di tangannya akibat ditikam semasa melambai menerusi tingkap kereta ketika lawatannya di Port Said,” jelas Irfan seraya memandang saya, meminta penjelasan selanjutnya.

“Walhasil … Dr. Ukasyah ‘Abu Yazid’ Damanhurie dan berpuluh lagi anggota Ikhwanul Muslimin ditahan selepas Majlis Zikra Istisyhad baru-baru ini atas tuduhan merancang cuba membunuh presiden.”

Saya merapati tembok tebing. Air tebu yang direguk terasa tawar. Sebiji batu sebesar dua ibu jari kaki saya kutip. Terasa sebak juga. Ada kepedihan yang tajam menikam hati. Gamal Abdul Nasser pernah bertindak sedemikian, dan kini sejarah berulang lagi. Realiti dunia Islam memang menyayatkan. Kebenaran masih jauh kelihatan. Konfrontasi menjadi resam. Pendokong Islam masih lagi dijebak dengan prasangka dan dikriminasi. Terlalu banyak mehnah yang merintangi jihad mereka rupanya.

Saya berpaling ke arah mereka.

“Jum!”

“Mau ke mana?” Zakuan bertanya. Masing-masing terpinga-pinga.

“Mau ikut jejak Sayyid Qutb, Hasan al-Banna, Dr. Abdullah Azzam, Dr. Fathi Syiqaqi, dan syuhada’ lainnya.”

Batu saya lontarkan sekuat hati ke tengah sungai yang seakan tidak beralun. Air sedikit berkocak dan membentuk bulatan yang akhirnya hilang pupus dalam arus Nil yang terus mengalir.

Glosari:

thaqafah – informasi, ilmu bantu

faudho – berserabut, kacau

syawarma – roti berdaging

mehnah – cabaran, tribulasi