Kenduri Wazir

1 02 2010

Oleh Zaid Akhtar

(Dewan Sastera Disember 2009)

PUJIAN demi pujian tiba-tiba mengapung ke langit.

“Inilah rekod baru negara!”

“Inilah langkahan saujana!”

“Belum ada yang sepantas dia. Baru setahun jagung dalam siasah sudah bergelar menteri.”

“Dia memang terlebih layak. Pemimpin sepertinya cuma satu dalam sejuta.”

“Dia tokoh prihatin dan penyayang. Alangkah beruntungnya rakyat punyai pemimpin sepertinya. Tentu tiada lagi rakyat terbiar kelaparan dan menderita.”

“Dia tokoh bersih suci. Rasuah pasti diperangi. Tiada rakyat tertindas lagi.”

“Dia tokoh ilmuwan. Budaya ilmu jadi keutamaan. Institusi pendidikan akan tumbuh bagai cendawan.”

“Dia tokoh ulama. Islam pasti akan lebih gemilang. Masjid-masjid tentu akan lebih makmur. Ibarat baldatun toyyibatun wa rabbun ghafuur.”

Segala-galanya kini berkisar seputar Wazir. Sejak diumumkan oleh Wazir Perdana sebulan lalu, kampung kami tidak sudah-sudah membicarakan tentang Wazir, atau kami kadang-kadang memanggilnya Ustaz Wazir yang kini benar-benar bergelar wazir.

Lama dahulu kami mengenali Wazir. Tampang tenang dan mesranya sewaktu mula-mula dia sebatang kara terhantar mengajar di sekolah kampung kami, tidak banyak berubah berbanding tampangnya yang sering muncul di kaca televisyen kini. Susuk sederhana tegapnya sewaktu beriadah bersama belia kampung kami, tidak banyak berbeza berbanding susuknya yang sering terpapar di dada akhbar hampir setiap hari. Begitu juga khutbah dan pidatonya yang masih lantang, memikat, dan berperisa seperti dahulu.

“Saya anak desa kemacar. Biasa bermandi keringat, bermain selut di sawah. Kampung halaman saya adalah bendang. Kampung ini ibarat kampung saya. Pakcik dan makcik juga seperti saudara-mara saya.”

Begitu pertama kali Wazir memperkenalkan dirinya kepada kami di masjid. Cukup mesra taarufnya. Malah kami terasa dia bagaikan salah seorang anak kampung kami yang baru pulang mengaji di tempat yang jauh.

“Saya mengaji tak tinggi mana. Pernah bersekolah atap, menginap di pondok. Cuma mungkin agak bernasib baik, ada pihak yang sudi membiaya saya hingga ke Timur Tengah.”

Sifat tawaduknya membuatkan kami selesa.

“Keluarga saya orang susah. Mungkin lebih sesak daripada pakcik dan makcik di sini. Tapi, insya-Allah, di sebalik kepayahan itu akan ada kesenangan.”

Tentu sahaja dia tidak sukar menyesuaikan dirinya di kampung kami. Tanpa memerlukan masa yang lama, Wazir kami rasakan bagai sebahagian daripada kami sendiri. Seisi kampung bagai jatuh hati padanya. Tok Ketua mengumpamakannya harta karun berharga yang tiba-tiba ditemui. Tok Imam pula mengibaratkannya wali yang diutuskan Allah untuk menyinari kampung kami dengan karamahnya.

“Apa kata jika kita undang Wazir datang ke kampung kita?”

Cadangan Tok Ketua itu mengejutkan kami semua yang asyik terhimbau kenangan-kenangan indah sewaktu bersama-sama Wazir dulu. Rasa bangga bagaikan tidak henti-henti mengalir dalam diri kami. Melonjak-lonjak sesekali.

“Kita adakan kenduri kesyukuran sempena kejayaan Wazir,” sambungnya lagi.

“Ya, kejayaan Wazir adalah kejayaan kampung kita juga.”

“Kita mesti buat kenduri besar-besaran.”

“Kita tumbangkan kerbau dua tiga ekor.”

“Bolehlah kita hidangkan beras baharu dari sawah kita.”

“Jangan lupa masak sup ekor kegemaran Wazir.”

“Tapi, mahukah Wazir bertandang ke kampung kita?”

Pertanyaan itu membuatkan kami melongo seketika.

“Kedatangan saya ke kampung ini adalah kerana Allah. Dia yang telah mentakdirkan saya akan terhantar ke sini demi mendidik anak-anak tuan-tuan, berjemaah di masjid dengan tuan-tuan, tinggal bersama-sama tuan-tuan.”

Kampung kami memang agak terpencil jauh di pedalaman. Namun kemudahan semuanya cukup dibekalkan kerajaan. Kehidupan penduduk rata-ratanya bergantung kepada hasil padi dan kebun. Ramai juga anak kampung kami yang telah keluar dan berjaya memegang jawatan penting di kota, bagaimanapun belum ada yang bergelar ustaz yang berjiwa murabbiy sepertinya. Pastinya kemunculan Wazir kami anggap sebagai rahmat. Laksana kejora gugur ke riba.

“Syukur, orang yang kami nanti sekian lama barangkali sudah tiba. Ustazlah orang yang akan menyatupadukan hati-hati penduduk kampung ini.”

Demikian ujaran Tok Ketua dalam satu kenduri aqiqah di masjid kira-kira dua minggu setelah Wazir menetap di kampung kami. Wazir hanya tersenyum madu. Kami saling berpandangan sesama sendiri sebelum mengangguk setuju.

Kata-kata Tok Ketua itu ada asasnya. Sepanjang setengah purnama Wazir bersama-sama kami hampir tiada penduduk kampung yang tidak mengenalinya. Begitu cepat dia bertaaruf dan memesrai kami. Tambahan pula dialah satu-satunya guru agama yang mengajar anak-anak kami di sekolah; satu-satunya ustaz yang menyebarkan ilmunya kepada kami di masjid. Malah kami semua sangat menyenangi dan mulai menyayanginya.

“Inilah agaknya takbir mimpi saya dulu. Ustazlah orangnya yang muncul dalam mimpi, yang akan mencorakkan tarbiah kampung ini.” Begitu pula luahan Tok Imam seusai solat Jumaat yang khutbahnya disampaikan oleh Wazir sendiri buat kali pertama.

Sudah ramai guru yang datang bertugas di kampung kami, namun belum ada yang berperwatakan hebat seperti Wazir. Sudah ramai ustaz yang datang ke kampung kami, namun belum ada yang dakwahnya terasa menusuk di jiwa kami. Wibawanya sebagai seorang pendidik yang muaddib, seorang ustaz yang mursyid, malah seorang pemimpin yang mujaddid jelas terserlah.

“Wazir pasti akan datang. Bukankah kampung ini kampungnya juga?” Tok Ketua meyakinkan kami.

“Ya, masakan dia sudah lupakan kita semua.”

“Mustahil dia boleh lupa. Setiap hari kita berjemaah dan mendengar kuliahnya.”

“Jadi, kita nak adakan kenduri itu di mana?”

“Balai raya kita kecil sangat. Masjid kita pula tua dan buruk.”

“Kita tetap adakan di masjid,” Tok Imam bersuara tegas. “Wazir pernah berkata, masjid adalah rumah pertamanya.”

“Terlanjur begitu, kita boleh minta sumbangan Wazir untuk ubah suai masjid.”

“Ya! Tentu dia akan sokong dan luluskan jika kita mohon pembinaan masjid baharu.”

Kami bagaikan serentak mengangguk dengan cadangan bernas itu.

“Perkara pertama yang Rasulullah lakukan sewaktu berhijrah ke Madinah adalah mendirikan masjid,” tegas Wazir dalam satu kuliah subuhnya.

Justeru masjid menjadi keutamaan dalam tarbiah Wazir, apatah lagi setelah dia kami lantik menjadi penasihat rumah Allah itu. Masjid usang kampung kami yang suram dan lengang diisinya dengan program-program yang mampu menarik jemaah. Tanpa kami jangka, warga emas yang selalunya ralit bersembang di warung dan galak bermain dam dan terup hingga ke malam perlahan-lahan mulai beralih ke masjid.

“Apa rahsianya, ustaz?”

Wazir terkerisin mendengar pertanyaan yang berisi kekaguman kami.

“Saya ke warung kopi berborak dengan mereka hampir setiap hari.”

Pelik bin ajaib! Apalah agaknya “ayat penarik” yang dihembus oleh ustaz muda ini hingga kaki karaoke pun malu alah dengannya dan tertarik ke masjid?

Mulanya hanya golongan tua yang perlahan-lahan mengakrabi masjid, namun lama kelamaan para belia kampung kami pula turut cenderung mengimarahkannya. Program-program masjid seperti halaqah, kuliah, tahlil, kenduri mahupun ziarah mulai mendapat sambutan.

Biarlah masjidnya nampak buruk, asalkan fungsinya hidup. Kalimat bernilai Wazir itu kami genggam sungguh-sungguh.

“Apa petuanya, ustaz?”

Wazir seperti lazimnya tersenyum meladeni ketakjuban kami.

“Saya juga ke padang bermain bola dan sepak takraw dengan mereka hampir setiap petang.”

Segalanya tentang Wazir membeliakkan mata kami. Begitu hebat. Tidak hanya sanggup turun ke warung kopi, padang bola, sawah bendang, kedai runcit; malah Wazir turut ke jalan raya bertemu mat-mat rempit. Dan kejayaannya juga bukan sekadar berjaya mendorong kami ke masjid, bahkan memupuk perpaduan dalam kalangan kami. Barangkali tidak cukup sehari suntuk jika mahu diperincikan karismanya dan auranya yang berupaya memukau sanubari kami.

“Bila kita akan adakan kenduri itu?”

“Lagi cepat lagi baik. Pasti ramai yang tidak sabar mahu berjumpa dengannya.”

“Seeloknya sebulan daripada sekarang. Majlis kenduri itu besar. Kita perlu membuat persiapan.”

“Kita sambut ketibaannya secara gilang-gemilang. Pasukan kompang, seni silat, pulut kuning, beras kunyit, bunga manggar mesti disiapkan.”

“Budak-budak muda tentu mahu membuat perarakan motosikal bagi mengiringinya.”

“Ya, Wazir itu idola mereka. Mat rempit pun tabik dengannya.”

“Lebih klasik jika kita guna tandu dan arak Wazir keliling kampung.”

“Undangan juga mesti dibuat lebih awal. Jadual Wazir pasti selalu padat, maklum sahaja menteri.”

“Kita lantik wakil untuk pergi mengundangnya.”

“Esok, aku dan Imam akan ke kota bertemu dengannya untuk menyampaikan undangan kita,” tegas Tok Ketua. “Biar dia sendiri yang tetapkan tarikhnya ke sini.”

“Apa kata jika kita hadiahkan Wazir beras baharu kita? Tentu dia suka. Lagipun dia telah banyak berjasa dan berkorban untuk kita selama ini.”

Semua yang hadir akur. Kasih sayang dan kerinduan terhadap Wazir tidak pernah merosot. Baktinya kepada kampung ini amat besar. Meskipun Wazir bukanlah anak jati kampung kami, tetapi kami tetap akan menobatkannya sebagai pejuang kami yang sebenar. Dialah simbol perjuangan kami. Tanpa hububan semangatnya, kami mungkin tidak mengenali erti perjuangan dan pengorbanan. Lebuh raya yang terbentang merentasi kampung kami itu saksinya.

“Kita tidak menolak pembangunan, tetapi biarlah setara dengan pengorbanan. Tuan-tuan adalah tuan tanah ini. Sawah adalah periuk nasi tuan-tuan. Berfikirlah jauh ke hadapan sebelum menurunkan tanda tangan.”

Kebanyakan kami yang sudah silau mata dengan tawaran longgokan wang termanggu seketika.

“Kami telah dijanjikan wang pampasan.”

“Benar. Tapi kalian berhak menuntut harga pampasan yang wajar.”

“Harga pampasannya sudah mengikut nilai semasa. Lumayan pula tu.”

“Ya, memang tawaran itu mengikut nilai semasa dan agak lumayan buat masa ini. Tapi, fikir-fikirkanlah, tuan-tuan akan kehilangan tanah selepas ini.”

Masing-masing terlongo. Kesedaran meresap masuk.

“Habis, apa yang harus kami tuntut lagi?”

“Tanah juga mesti diganti dengan tanah!”

Lalu kami menuntut tanah lain sebagai ganti kepada tanah sawah yang kami korbankan untuk pembinaan lebuh raya. Kami berjaya beroleh kedua-duanya, namun Wazir juga turut terkorban. Dia dipindahkan serta-merta ke daerah lain di hujung negeri kerana didakwa menjadi penghasut bermotif politik agar kami menuntut pampasan berlebihan.

Biarpun terpisah jauh, kami masih lagi saling berhubung dan bertanya khabar. Hubungan ukhuwah itu kekal beberapa lama. Namun dua minggu sebelum pemilihan umum rakyat yang lalu, Wazir tiba-tiba disunting untuk bertanding merebut kawasan parlimen tempat kelahirannya. Khabarnya dia menolak pada awalnya, bagaimanapun akhirnya akur dengan pujukan yang berpanjikan perubahan. Dia menang besar  di luar jangkaan dan kemudian mencipta kejutan apabila dilantik sebagai menteri termuda dalam kabinet baharu Wazir Perdana.

Sejak asar kami menanti kepulangan Tok Ketua dan Tok Imam di masjid. Segala mesyuarat jawatankuasa sambutan sudah usai. Hanya menunggu kepastian daripada kedua-duanya sahaja yang ke kota sejak pagi untuk bertemu Wazir. Kami mahu mendengar sendiri daripada mulut mereka berdua, bilakah Wazir akan datang ke mari.

Serentak dengan laungan azan maghrib bersipongang, motokar Tok Ketua tiba di perkarangan masjid. Kami segera berkerumun dan bagaikan tidak sabar menanti kedua-duanya keluar dari kenderaan.

“Apa khabar Wazir?”

Tok Ketua dan Tok Imam saling berpandangan. Kemudian saling menggeleng. Tiada ceria pada wajah mereka. Masam dan kelat.

“Bila Wazir nak datang ke sini?”

Tok Imam menghempas pintu motokar agak kuat. Tok Ketua pula begitu lambat pergerakannya untuk keluar dari tempat pemandu.

“Bagaimana Wazir, Tok Imam?”

“Wazir dah sebulan meninggal.”

Kami terpinga-pinga mendengar jawapan Tok Imam. Sudah sebulan meninggal dunia?

Mustahil! Baru semalam kami melihatnya sedang merasmikan sebuah ekspo di kaca televisyen. Malah akhbar hari ini juga ada menyiarkan beritanya berkempen memerangi korupsi.

“Mengarut!

“Janganlah main-main, Tok!”

“Baru petang tadi keluar berita Wazir akan bercuti ke luar negara selama seminggu mulai esok.”

“Betul. Dia memang dah meninggal,” tegas Tok Imam.

“Habis yang keluar di TV tu siapa?”

“Hantu,” balasnya seraya melangkah ke tempat wuduk.

Kami berasa mahu menerkam Tok Imam yang berjenaka tidak mengira tempat dan ketika.

“Mari tolong aku keluarkan beras-beras tu.” Tok Ketua pula bersuara agak tidak bermaya. “Biarlah Wazir tak ada sekali pun, esok kita tetap adakan kenduri.”

Kami semakin terkesima. Jembalang mana yang merasuk dua orang tua kami ini?

But kereta dibuka. Tiga guni beras-baharu yang dibawa Tok Ketua sebagai buah tangan pagi tadi masih tidak terusik.

“Kita adakan kenduri arwah untuknya. Dan doa selamat untuk kampung kita.”


Tindakan

Information

7 responses

24 02 2010
Kak Ani

Salam Ustaz

Cerpen yang menarik, namun pembaca perlu menelah tentang apa yang berlaku pada pertemuan Tok Ketua dan Menteri wazir sehinggakan kenduri mewah menjadi kenduri arwah. Perlu juga mengaitkan cerpen ini dengan senario imam masuk bertanding pilihanraya dan apa yang seterusnya berlaku kepada imam tersebut kemudiannya,

Ada satu pertanyaan:

Bagaimana penulis ingin mengaitkan satu plot dengan plot yang lain. Misalnya plot pertama ialah tentang apa yang sedang berlaku. Plot kedua ialah tentang apa yang telah berlaku. Perlukah digariskan atau ditanda i, ii dan seterusnya seperti yang pernah dibuat Nisah Haron. Terkadang boleh terkeliru dengan pembacaan dan pemahaman sehingga terpaksa rujuk semula kepada perenggan sebelum.

Apapun tahniah atas penerbitan cerpen Ustaz dalam Dewan Sastera.

16 04 2010
zaidakhtar

i
mereka anggap wazir sudah mati, kak.

ii
boleh saja, kak.
nak garis boleh, nak letak angka roman pun boleh. yang letak tanda (*********) pun ada.
yang penting pembaca faham bahawa ia semacam segmen atau perjalanan plot.
tapi kalau tak ada pun, rasanya ia lebih mencabar pembaca mungkin.

8 04 2010
betik_muda

salam ustaz.Bolehkah kita menjadikan 3 watak utama terus dalam satu-satu cerita.??
harap membantu

16 04 2010
zaidakhtar

boleh saja.
tapi untuk yang baru bermula, mulalah dengan 1 watak dahulu.
kalau dah mahir nanti, bolehlah uruskan watak yang banyak.
insya-Allah

15 04 2010
nurjannah mohamad

salam ustaz,

apakah sbnarny yg trjadi kpd wazir.sebagai pmbaca, sy tidak dpt memahami motif utama penulisan ini…biarpn karya ini dikatakan mntap pd mulanya..namun pengakhiran yg mnimbulkn tnda tanya tanpa pnjelasan mnyebabkan ia mnjadi hambar..
selaluny pembaca trtnya2 apakah nilai moral atau pngajaran yg boleh didapati dr sesutu pmbacaan namun, sekiranya ia dibiarkn sahaja..ia hanya mmpu mmbawa kekecewaan…

mohon pnjelasan..

wallahualam

16 04 2010
zaidakhtar

salam.
terima kasih kerna membaca.
apa yang terjadi kpd wazir?
hmm… tafsirannya harus terpulang kpd membaca.
saya bermula dari pepatah bagai kacang lupakan kulit.
🙂

15 06 2010
akmal

salam…
ustaz,byk persoaln yg tmbul dlm fkrn sy ble bce crpen ni..
1)adkh jln crtanyer brmotif utk mmaparkn tntg sseorg yg slma ini disnjg tggi,
nmun akhrnye brubh stlh dklilingi dgn nkmt dnia???
2)knp plak knduri tu diubh kpd kndri arwh?
n byk lg…..

mhon pnjlasan….

Tinggalkan komen